Wednesday 1 October 2014

KES BEKAS KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF SIME BANK KE MAHKAMAH TINGGI SEMULA.



KUALA LUMPUR
- Selepas mengisytiharkan bahawa kes pertikaian mahkamah beliau sejak 16 tahun lalu selesai empat bulan lepas, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Sime Bank, Datuk Ismail Zakaria kini kembali ke Mahkamah Tinggi selepas pihak pendakwaan dapat mengembalikan semula kesnya berhubung kelulusan kemudahan kredit berjumlah RM175 juta.


Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Kamaruddin Hashim menetapkan 12 Disember bagi mendengar rayuan kes.


Pihak pendakwaan yang diterajui Ketua Unit Komersial, Jabatan Peguam Negara, Syed Faisal Syed Amir yang mewakili Bank Negara, berjaya dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan pada 25 September selepas mahkamah bersetuju dengan hujah pihak pendakwaan bahawa wujud kesilapan sebenar di pihak mereka kerana gagal hadir di Mahkamah Tinggi semasa peringkat pertama rayuan.


Ismail, 71, yang menerajui Sime Bank semasa satu daripada krisis kewangan paling teruk pada 1997 tidak berada di mahkamah hari ini dan peguamnya Kitson Foong memaklumkan mahkamah bahawa anak guamnya sakit.


Ketika ditemui selepas prosiding mahkamah, Syed Faizal berkata panel mahkamah rayuan juga bersetuju bahawa terdapat merit bagi rayuan yang betul untuk didengar sebelum kes diselesaikan secara muktamad.


Pada 6 Jun lepas, Mahkamah Tinggi menolak percubaan pertama pihak pendakwaan untuk mengembalikan semula kes selepas memutuskan bahawa kegagalan untuk mencatatkan tarikh pendengaran bukan satu alasan bagi mahkamah untuk bertolak ansur.


Pada 12 September, 2011, Ismail dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen daripada empat pertuduhan bertindak di luar bidang kuasanya meluluskan pinjaman berjumlah RM175 juta kepada sebuah syarikat pelaburan. Ismail, didakwa meluluskan RM59 juta, RM50 juta, RM40 juta dan RM26 juta kepada Everise Capital Sdn Bhd.


Beliau didakwa melakukan kesalahan itu antara 20 September 1997, dan 21 Oktober 1997, di pejabatnya di tingkat 2, Bangunan Sime Bank di Jalan Sultan Ismail di sini.


Pertuduhan mengikut Seksyen 65 (1), Akta Perbankan dan Institusi Kewangan (Bafia) 1989, dan boleh dihukum mengikut Seksyen  103(1) (a) akta sama, yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM5 juta, atau kedua-duanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment

INILAH IDENTITI PEMANDU LORI REMPUH ORANG RAMAI DI BANDAR NICE FRANCE MENGAKIBATKAN 84 MAUT, 53 CEDERA PARAH DAN 202 CEDERA.

Pemandu lori yang merempuh orang ramai di bandar Nice, Perancis semalam disahkan warga negara Tunisia yang bernama Mohamed Lahouaiej-Bo...